SAINGAN Piala Jerman bagi musim 2020/21 akan bermula pada 11 September dan penyokong lawan masih lagi tidak dibenarkan untuk menghadiri mana-mana perlawanan. FOTO Agensi
SAINGAN Piala Jerman bagi musim 2020/21 akan bermula pada 11 September dan penyokong lawan masih lagi tidak dibenarkan untuk menghadiri mana-mana perlawanan. FOTO Agensi
AFP

PEMINAT bola sepak Jerman boleh kembali ke beberapa stadium pada pertengahan bulan ini untuk menyaksikan perlawanan pusingan pertama Piala Jerman.

Perkara itu diumumkan oleh Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) awal pagi tadi.

Sebelum ini perlawanan bola sepak di Jerman diadakan tanpa kehadiran penonton sejak aksi profesional disambung semula Mei lalu akibat pandemik Covid-19.

"Perlawanan divisyen tiga, Piala Jerman dan saingan wanita, boleh dibenarkan kehadiran penonton (terhad) namun keputusan ini harus mendapat persetujuan daripada kelab dan pihak berkuasa kesihatan tempatan.

"Ini bermakna hanya sesetengah stadium saja akan ada penonton," kata DFB dalam satu kenyataan.

Saingan Piala Jerman bagi musim 2020/21 akan bermula pada 11 September dan penyokong lawan masih lagi tidak dibenarkan untuk menghadiri mana-mana perlawanan.

Kebanyakan kelab tidak akan dapat menerima lebih daripada 1,000 peminat, walaupun terdapat beberapa pengecualian, dengan Magdeburg diberi lampu hijau untuk menjadi tuan rumah dengan kehadiran 7,500 penonton.

DFB juga hanya mahu membenarkan 500 penyokong menyaksikan perlawanan membabitkan Jerman dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA menentang Sepanyol di Stuttgart namun permintaan itu ditolak oleh pihak berkuasa tempatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 10:32 AM