RAMIREZ mahu penyokong Las Palmas dibenarkan datang ke stadium. FOTO Agensi
RAMIREZ mahu penyokong Las Palmas dibenarkan datang ke stadium. FOTO Agensi
AFP

PRESIDEN Las Palmas, Miguel Angel Ramirez berharap pasukannya dibenarkan beraksi di laman sendiri dengan kehadiran penyokong bagi baki aksi musim ini.

Kelab yang berpangkalan di Pulau Canary itu beraksi di dvisyen dua liga Sepanyol dan bersedia untuk kembali beraksi dalam saingan kompetitif menentang Girona pada 13 Jun ini.

Kerajaan Sepanyol setakat ini menegaskan semua perlawanan bola sepak seharusnya diadakan tanpa penonton.

"Kami boleh menjadi satu-satunya stadium dalam liga besar dapat beraksi semula dengan kehadiran penonton di tempat duduk penonton.

"Kami akan mematuhi semua permintaan pihak berkuasa dan kami boleh mengumumkan minggu depan penyokong Las Palmas boleh datang ke stadium untuk memberikan sokongan bermula aksi menentang Girona pada 13 Jun," kata Ramirez.

Beliau berkata, mereka sekarang ini berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di Gran Canaria, di mana kurang penularan wabak Covid-19 berbanding kawasan lain di Sepanyol.

Wilayah berkenaan akan memasuki fasa akhir program penyingkiran Covid-19 minggu depan namun peraturan rasmi menyatakan perlawanan bola sepak masih belum boleh menerima kehadiran penonton.

"Pulau Canary adalah destinasi selamat. Gran Canaria juga selamat," kata Ramirez.

Saingan La Liga akan bermula 11 Jun, manakala Segunda pula bakal membuka tirai sehari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 1:01 PM