Pemain Juventus mula menjalani latihan individu sejak awal Mei. FOTO Juventus FC
Pemain Juventus mula menjalani latihan individu sejak awal Mei. FOTO Juventus FC
AFP

KELAB Serie A boleh kembali menjalani latihan berpasukan bermula pada 18 Mei ini jika mereka mengubah protokol perubatan, umum kerajaan Itali, semalam.

Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Saintifik Teknikal (CTS) minggu lalu membincangkan secara terperinci bagaimana mereka boleh kembali berlatih secara berkumpulan selepas perintah berkurung dua bulan berikutan Covid-19.

Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora dan Menteri Kesihatan, Roberto Speranza berkata menerusi kenyataan bersama bahawa CTS menerima protokol diberikan FIGC untuk mengadakan sesi latihan berkumpulan itu.

"Pandangan diminta kerajaan daripada wakil Jawatankuasa Saintifik Teknikal mengesahkan peraturan yang berhemah," menurut menteri berkenaan dalam kenyataan itu.

"Petunjuk diberikan CTS, yang disifatkan tegas dan terikat, akan dihantar kepada persekutuan untuk perubahan diperlukan terhadap protokol dalam usaha membenarkan sambungan latihan berpasukan bermula 18 Mei ini."

Saingan bola sepak Itali ditangguhkan sejak 9 Mac lalu kerana Covid-19 yang membunuh hampir 31,000 orang di negara itu.

Kerajaan Itali membenarkan skuad kembali berlatih secara individu bermula 4 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 8:04 AM