KEPUTUSAN sama ada saingan Serie A akan disambung semula bakal diketahui esok. FOTO AFP
KEPUTUSAN sama ada saingan Serie A akan disambung semula bakal diketahui esok. FOTO AFP
AFP

SERIE A berharap dapat mengikut jejak langkah Jerman dan Sepanyol untuk kembali menyambung aksi di padang dan perkara itu akan diputuskan esok apabila mereka mengadakan perbincangan bersama kerajaan Itali.

Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora akan memberitahu Persekutuan Bolasepak Itali dan ketua Lega Serie A jika situasi kesihatan sekarang membolehkan mereka kembali menyambung saingan selepas hampir tiga bulan ditangguhkan.

Saingan di Itali ditangguhkan sejak 9 Mac berikutan pandemik Covid-19 yang mengorbankan 33,00 orang di negara itu.

Kelab bola sepak kembali melakukan latihan berkumpulan 19 Mei lalu namun aksi kompetitif masih kekal ditangguhkan sehingga pertengahan Jun.

Petunjuknya ialah sama ada Spadafora dan Jawatankuasa Teknikal Saintifik pihak kerajaan akan bersetuju dengan cadangan protokol kesihatan seterusnya saingan musim ini boleh disambung semula.

Jika mendapat lampu hijau esok, Lega Serie A akan mengadakan satu lagi perbincangan Jumaat ini untuk menyemak jadual yang bakal digunakan bagi baki saingan Serie A dan Piala Itali.

Ketua Lega Serie A mahu kejohanan diteruskan pada 13 dan 14 Jun, bermula dengan empat aksi yang ditangguhkan sebelum ini iaitu antara Atalanta-Sassuolo, Verona-Cagliari, Inter Milan-Sampdoria dan Torino-Parma.

Mereka berharap saingan musim ini dimulakan sepenuhnya bermula 20 Jun, dengan harapan dapat mencari juara liga, pasukan yang tersingkir dan dinaikan ke Serie A, sebelum menyambung aksi separuh akhir Piala Itali, manakala perlawanan akhir pula pada awal Ogos.

Saingan peringkat Eropah juga akan dilangsungkan pada Ogos, dengan tiga wakil Itali masih lagi dalam aksi Liga Juara-Juara dan dua lagi berentap di Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 12:45 PM