AKSI pemain Terengganu, Mohd Aizat Saari (kiri) berentap dengan  pemain Pahang, Zainal Abidin Hamzah dalam perlawanan Liga Futsal  Perdana  di Stadium Tertutup Sukpa tahun lalu.
AKSI pemain Terengganu, Mohd Aizat Saari (kiri) berentap dengan pemain Pahang, Zainal Abidin Hamzah dalam perlawanan Liga Futsal Perdana di Stadium Tertutup Sukpa tahun lalu.
Malik Muhamad


PENGENDALI pasukan futsal Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad akui gembira dan menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menyisihkan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim ini.

Beliau berkata, tindakan badan induk bola sepak Malaysia yang turut mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyambung semula liga sebagaimana Liga Malaysia (Liga M) adalah langkah tepat demi pembangunan sukan itu.

Malah, beliau akui lega dengan perkembangan positif itu apabila FAM turut memberi jaminan tidak akan ada rombakan besar-besaran mengenai jadual pertandingan MPFL musim ini sekiranya mendapat 'lampu hijau' daripada MKN.

"Perkembangan ini berita positif buat kami kerana para pemain bagaikan tidak sabar lagi untuk turun padang. Malah lebih menggembirakan kami jika format asal 22 perlawanan dikekalkan, lagipun perlawanan berlangsung dalam dewan tanpa sebarang gangguan sama ada disebabkan cuaca dan sebagainya.

"Tapi mungkin jadual menjadi padat, namun kami sedia beraksi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan. Sekiranya ada masa, selain liga, FAM juga boleh meneruskan saingan Piala Futsal Malaysia yang pertama kali bakal diperkenalkan musim ini, tapi itu terpulang kepada FAM, namun besar harapan kami agar liga dapat dilangsungkan biarpun tanpa penonton," ujarnya.

Ahad lalu FAM mengesahkan MPFL turut termasuk dalam rayuan kepada MKN bersama Liga M untuk disambung semula aksinya bermula 1 September depan tanpa rombakan besar-besaran jika mendapat kebenaran daripada MKN.

Berdasarkan rekod, saingan MPFL musim ini baharu berlangsung satu perlawanan pada 15 Mac lalu sebelum FAM menangguhkan semua kejohanan sehari selepas itu susulan penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 7:14 PM