SILVA, diumum pengendali baru KUFC. -FOTO Ihsan KUFC
SILVA, diumum pengendali baru KUFC. -FOTO Ihsan KUFC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Ketua Jurulatih asing terus menjadi pilihan Kelantan United Football Club (KUFC) dengan mengumumkan pelantikan Ailton Dos Santos Silva mengemudi pasukan dalam baki saingan Liga Super, musim ini.

Ailton, 56 yang berasal Brazil menggantikan Thomas Truca yang dilantik ke jawatan ketua jurulatih pasukan pembangunan bawah 23 tahun bagi persaingan piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pengarah Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, pengendali itu pernah melatih dua kelab di Liga Thailand dan sudah tidak asing dalam saingan peringkat Asia Tenggara.

"Beliau juga berjaya memacu Chiangrai United sebagai juara musim 2019 dengan mencatat 22 kemenangan sekali gus dinobatkan pengurus terbaik musim itu.

"Ailton kemudian dinamakan sebagai Pengurus Chiangmai United pada 2021 dan diharap pengalaman beliau dapat menaikkan semula kedudukan kijang hijau di persada bola sepak Malaysia," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ailton juga pernah melatih beberapa kelab Liga Brazil dan pernah membawa salah satu kelab, River Plate-SE merangkul kejuaraan divisyen musim 2011.

Magis Ailton diharap dapat memperbaiki kedudukan KUFC yang kini berada di 13 daripada 14 dengan mencatat satu kemenangan, tiga seri dan 10 kekalahan dalam 14 perlawanan liga yang sudah berlangsung.

KUFC antara pasukan yang membuat rombakan besar-besaran menjelang jendela perpindahan kedua pada Julai dan pusingan kedua Liga Super termasuk menukar ketua jurulatih dan pemain import.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 1:43 PM