AKSI MPFL diharap tidak batalkan. FOTO NSTP
AKSI MPFL diharap tidak batalkan. FOTO NSTP
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Kami letak harapan tinggi agar Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) tahun ini tidak menjadi 'korban' kedua selepas Piala FA," kata ketua jurulatih pasukan futsal Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad.

Beliau berkata situasi pandemik Covid-19 dalam negara yang masih belum stabil dan reda mencetuskan nada kebimbangan mengenai masa depan sukan dalam dewan itu yang berkemungkinan dibatalkan buat kali kedua.

Katanya, potensi untuk sukan edisi ke-3 'bungkus' sebagaimana musim lalu cukup besar selepas Piala FA sudah dibatalkan pihak penganjur bulan lalu bagi mengelak jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) menjadi lebih padat.

"Namun besar juga harapan saya dan semua pemain supaya liga futsal itu tidak menjadi mangsa dibatalkan sebaliknya perlu diteruskan musim ini lebih-lebih lagi kami sudah tidak sabar lagi untuk turun ke gelanggang.

"Kami sedia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dan sedang berkuat kuasa asalkan kami diberi peluang untuk bersaing dalam sukan futsal ini.

"Lagipun saya menyelami perasaan majoriti pemain yang membarisi pasukan Terengganu kerana sumber pendapatan mereka bergantung sepenuhnya melalui kerjaya sukan futsal ini.

"Jadi kami harap pihak berkaitan mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan jika mahu membatalkan pertandingan itu," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, jika situasi semasa tidak mengizinkan dan menyukarkan serta pihak kerajaan pula tidak membenarkan sukan itu beroperasi, beliau tetap akur dengan keputusan itu.

"Kami hormati dan serah kepada pihak berkuasa serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan itu kerana kami sedar pelbagai kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Musim lalu, pemain yang baharu memulakan aksi perlawanan pertamanya pada Mac terpaksa akur selepas FAM membatalkan kejohanan itu pada awal Jun berikutan wabak pandemik Covid-19 masih belum reda.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 9:41 PM