AKSI pemain Terengganu, Mohd Aizat Saari (kiri) berentap dengan pemain Pahang, Zainal Abidin Hamzah dalam MPFL tahun lalu.
AKSI pemain Terengganu, Mohd Aizat Saari (kiri) berentap dengan pemain Pahang, Zainal Abidin Hamzah dalam MPFL tahun lalu.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas dua saingan peringkat belia dibatalkan, kini tiba giliran Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pula terpaksa 'dibungkus' buat musim kedua berturut-turut.

Keputusan sukar berkenaan terpaksa diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik Covid-19.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar, keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran pertandingan itu yang sehingga kini masih belum mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"FAM turut berasakan bahawa keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan pada masa yang sama memberi lebih ruang kepada setiap pasukan untuk membuat perancangan menghadapi pertandingan ini bagi musim depan.

"FAM ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan keputusan dan ketetapan seperti di atas dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini," katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini, FAM turut membatalkan Piala Presiden dan Piala Belia sekali gus menjejaskan pembangunan bola sepak di peringkat bawah umur 21 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 10:00 PM