MOHD HAFIZ (kiri) dan kembarnya, Mohd Hafizi harap MPFL tidak dibatalkan musim ini. FOTO Ihsan Mohd Hafiz
MOHD HAFIZ (kiri) dan kembarnya, Mohd Hafizi harap MPFL tidak dibatalkan musim ini. FOTO Ihsan Mohd Hafiz
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selain jurulatih, pemain juga turut melahirkan nada kebimbangan mengenai masa depan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang berpotensi untuk dibatalkan saingannya musim ini sekiranya wabak pandemik Covid-19 belum reda.

Kebimbangan itu disuarakan pemain lincah pasukan Terengganu, Mohd Hafiz Ismail yang melahirkan kekecewaan jika liga futsal dibatalkan sebagaimana Piala FA musim ini.

"Musim lalu kami kecewa kerana liga futsal terpaksa dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19 itu ketika kejohanan baharu bermula perlawanan pertama.

"Jadi nada kebimbangan sama berkemungkinan liga 'dikorbankan' sebagaimana Piala FA sentiasa bermain dalam fikiran kami, hal ini ditambah dengan situasi semasa wabak itu belum pulih sepenuhnya.

"Namun harapan tinggi kami para pemain agar liga futsal tidak menjadi mangsa kedua selepas Piala FA, kerana kami sudah 'gian' untuk bermain selepas liga dibatalkan musim lalu," kata Mohd Hafiz kepada Sukan NSTP.

Nada sama diluahkan kembarnya, Mohd Hafizi, 23 yang turut melahirkan kebimbangan MPFL dibatalkan buat kali kedua berturut-turut.

"Kali terakhir kami beraksi pada pertengahan Mac tahun lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac dan kemudian liga dibatalkan pada awal Jun, jadi hampir setahun kami tidak beraksi.

"Harapan kami Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mengkaji secara lebih terperinci sebelum membuat sebarang keputusan bagi memastikan kami boleh beraksi kerana ini platform terbaik untuk mengintai skuad kebangsaan.

"Lagipun ada antara pemain kerjayanya adalah bermain futsal sepenuh masa, jadi jika dibatalkan ia bakal memberi impak kepada mereka," katanya yang pernah dipanggil menjalani latihan skuad remaja negara sebelum ini.

Semalam jurulatih pasukan futsal Terengganu Mohd Rozairi Ahmad melahirkan kebimbangan kemungkinan liga itu dibatalkan, namun beliau berharap kejohanan itu dapat diteruskan pada musim ini dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

MPFL yang baharu memasuki edisi ketiga musim ini dijangka berlangsung pada Jun tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 3:06 PM