TCHETCHE (kanan) mengakui kebolehan individu mampu membantu pemain kembali menyinar. FOTO BERNAMA
TCHETCHE (kanan) mengakui kebolehan individu mampu membantu pemain kembali menyinar. FOTO BERNAMA
Izzali Ismail


DUA peledak berbisa Kedah Kpah Sherman dan Kipre Tchetche tetap fokus dengan prestasi mereka meskipun melalui tempoh lama tanpa latihan di atas padang selepas Liga Malaysia (Liga M) dihentikan seketika akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Mereka yang menjalani latihan secara bersendirian di rumah bagaimanapun sudah merindui sentuhan latihan sebenar kerana itu sahaja satu-satunya cara untuk mereka tingkatkan lagi sentuhan ketajaman dalam menghasilkan gol.

Justeru apabila masanya tiba untuk mereka dibenarkan kembali berlatih nanti, peluang itu akan mereka gunakan sebaik mungkin untuk terus menggilap bakat sedia ada ke peringkat lebih baik bagi mengharungi aksi Liga M seterusnya.

Menurut penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche yang kini menjalani latihan di rumah, kewibawaan seorang penyerang boleh terkesan dalam sentuhan jaringannya jika terlalu lama tidak menjalani latihan rembatan seperti dilakukan dalam kawasan gol.

"Namun bagaimanapun baginya, teknik atau kebolehan individu yang ada pada setiap penyerang itu boleh cepat digilap kembali berdasarkan pengalaman yang ada pada pemain berkenaan.

"Penyerang yang bagus perlu sentiasa mengamalkan latihan secara berterusan bagi mencapai tahap kesempurnaan yang disasarkan dan apabila kelulusan untuk kembali berlatih diperolehi nanti, ianya adalah masa terbaik untuk saya dan pasukan usahakan," katanya

Bagi penyerang kelahiran Liberia iaitu Sherman, dia tidak menolak akibat kekurangan latihan di depan kawasan gol akan memberi kesan terhadap ketajaman pada seseorang penyerang.

"Ya, secara jujurnya jika penyerang kekurangan latihan diatas padang, ia akan memberi impak terhadap aspek ketajaman, dan bagi mengelak kesan berkenaan, penyerang harus lebih fokus dalam menjalani latihan berterusan apabila dibenarkan kembali ke padang nanti.

"Walaupun semasa saya bercuti sekalipun sebelum ini, saya tetap akan luangkan masa berlatih di padang namun dalam situasi sekarang iaitu dalam tempoh PKP ini berbeza sama sekali kerana kita diwajibkan mematuhi arahan semua aspek berkaitan latihan bola sepak.

"Saya berharap agar suasana bola sepak di Malaysia kembali pulih secepat mungkin dari ancaman wabak bahaya ini dan jika latihan dapat dibenarkan semula dengan peraturan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang akan diperkenalkan nanti ia merupakan satu berita yang baik untuk pemain." katanya.

Kedah mencatat 11 jaringan gol melalui enam perlawanan Liga Super pada musim ini termasuk aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Februari lalu, sebelum Liga M terhenti akibat wabak Covid-19 pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:38 PM