SHERMAN (kiri) dan Tchetche tidak lagi bersama KDA FC. FOTO Ihsan KDA FC
SHERMAN (kiri) dan Tchetche tidak lagi bersama KDA FC. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Gandingan padu '2K' yang selama ini menjadi tunjang kekuatan serangan skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hanya tinggal kenangan apabila Kipre Tchethe diumum tidak lagi bersama skuad Hijau Kuning pada musim depan.

Pengumuman yang di luar jangkaan peminat ini adalah satu kejutan selepas KDA FC turut memaklumkan pengunduran rakan Tchethe di bahagian serangan iaitu Kpah Sherman pada 7 Disember lalu.

Pengumuman mengenai ketiadaan dua penyerang '2K' (Kipre Tchetche dan Kpah Sherman) ini memberi bayangan skuad kendalian Aidil Sharin bakal memiliki perancangan lebih menarik untuk menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC pada musim depan.

Ini bermakna KDA FC bakal mengikat empat lagi pemain import baharu untuk musim depan selepas pemain import pertama yang juga import kuota Asia dari Korea Selatan Jang Suk Won diumumkan bersama Kedah dua hari lalu.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan media KDA FC semalam turut diikuti dengan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada Tchethe yang mencurahkan segala perjuangannya dengan sepenuh hati sepanjang sepanjang bersama skuad hijau kuning sejak musim 2020.

"Warga KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dalam kerjaya dia dengan pasukan baharu.

"Sepanjang menabur bakti selama dua musim, Tchetche Kipre menjaringkan 17 gol bersama pasukan Kedah dan juga hantaran-hantarannya banyak membantu rakan sepasukan menjaringkan gol.

"Antara yang diingati gol cantik dia ketika melakukan rembatan gol dari luar kotak penalti ketika menentang kelab Hong Kong Tai Po FC untuk saingan kelayakan Liga Juara-juara Asia ACL musim 2020.Tchetche Kipre, anda selamanya hijau kuning, biar jasa jadi kenangan." katanya.

Bagi Kpah Sherman pula, dia menyumbangkan 19 gol bersama pasukan Kedah sejak musim 2020 termasuk membantu banyak kemenangan hingga Kedah berjaya meraih kedudukan naib juara Liga Super untuk dua tahun berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 1:45 PM