FAISAL Halim pemain tempatan tunggal berada dalam kelompok 10 penjaring terbanyak. -FOTO NSTP
FAISAL Halim pemain tempatan tunggal berada dalam kelompok 10 penjaring terbanyak. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketika saingan Liga Super hanya berbaki empat ke lima aksi untuk ditamatkan, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim muncul satu-satunya tonggak tempatan yang berada dalam senarai 10 penjaring terbanyak setakat ini dengan 10 gol.

Kejayaan 'menyelinap' masuk dalam kelompok 10 penjaring terbanyak itu dianggap cukup positif ketika tonggak import dilihat mendominasi carta itu.

Kelincahan dan ketajaman Faisal di depan gawang pastinya ditagih oleh skuad Harimau Malaya selepas sini yang bakal menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa dengan menentang Syria dan China di Chengdu nanti.

Biarpun Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mickey' di kalangan rakan sepasukan digantung selama sebulan bermula 25 Julai hingga 23 Ogos lalu, sentuhan pemusnahnya nyata tidak hilang.

Dia yang kembali beraksi menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Mohammad IV pada 25 Ogos lalu terus 'mengamuk' dengan meledak dua gol sebaik dimasukkan pada babak kedua untuk membantu pasukannya memang dengan 11-2.

Sementara itu, rakan sepasukan Faisal di kem Selangor iaitu Ayron de Valle kini berada dalam landasan terbabit untuk dinobatkan penjaring terbanyak Liga Super dengan merekodkan 21 gol setakat ini.

Mahkota penjaring terbanyak itu bukanlah asing buat Ayron apabila sebelum ini pernah memegang takhta Penjaring Terbanyak Liga Dimayor di Colombia selama tiga musim berturut-turut.

Pencapaian itu termasuk pada musim 2014/2015 bersama Deportes Tolima sebanyak 30 gol, 2015/2016 bersama Alianza Petrol sebanyak 12 jaringan dan 2016/2017 bersama CD America de Cali dengan 11 gol.

Mengikut rekod, ketika ini Ayron mendahului senarai penjaring gol diikuti dua penyerang Johor Darul Ta'zim, Fernando Forestieri (17 gol) dan Bergson da Silva (15 gol); penyerang Sri Pahang, Kpah Sherman(11 gol) manakala Ivan Mamut (Terengganu FC) sudah menjaringkan 10 gol.

Bagi kejuaraan Liga Super pula, JDT ketika ini dilihat cukup sukar digugat apabila mencatatkan 20 kemenangan daripada 21 aksi dengan memungut 61 mata sekali gus meninggal jauh Selangor FC di tempat kedua menerusi 49 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 12:58 PM