STUART  Ramalingam.
STUART Ramalingam.
Syazwan Msar


SKUAD Harimau Malaya terpaksa mengatur perlawanan persahabatan lain dengan terbaharu kemungkinan akan bertemu Bhutan sebagai persediaan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai 26 Mac depan.

Walaupun dilihat Bhutan bukanlah lawan ‘bersesuaian’ apabila tidak memiliki taktikal dan fizikal sama dengan UAE namun perlawanan sebelum bertemu UAE adalah penting bagi membina keserasian dan mengekalkan momentum pasukan untuk meraih kemenangan keempat.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama persatuan bolasepak negara terbabit bagi mengatur perlawanan persahabatan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, ketika ini cukup sukar untuk mencari pasukan terutama dari Timur Tengah berikutan waktu begitu suntuk selain isu penularan wabak COVID-19 yang menyukarkan untuk mengatur sebarang perlawanan.

“Perlawanan persahabatan penting untuk memastikan pasukan negara lebih bersedia sebelum berkunjung ke UAE namun kita perlu hormati Bahrain yang enggan meneruskan aksi persahabatan di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, Bahrain pada 21 Mac ini.

“Oleh itu, FAM akan cuba mencari pasukan yang bersedia untuk perlawanan persahabatan bertemu Harimau Malaya dan kemungkinan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Bhutan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu,Arena Metro melaporkan persediaan skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac 2020 apabila perlawanan menentang Bahrain dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19.

Stuart berkata, Kerajaan Bahrain pada Jumaat lalu (21 Februari 2020) mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu-individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak COVID-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 11:07 PM