SKUAD Harimau Malaya berdepan UAE pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai bulan depan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
SKUAD Harimau Malaya berdepan UAE pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai bulan depan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim

SELAIN kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dikhabarkan bakal menguji anak buah Tan Cheng Hoe sebelum turun dalam aksi sebenar berdepan skuad kebangsaan UAE, skuad Harimau Malaya turut berusaha mendapatkan pasukan kebangsaan Yaman.

Pengurus pasukan negara, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan aksi berstatus kelas A bertemu mana-mana negara dari Asia Barat yang turut akan menyumbang mata ranking kepada negara.

Katanya, rundingan kedua-dua pihak masih berjalan dan sekiranya mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bolasepak Yaman, skuad kendalian Cheng Hoe akan menentang Yaman yang menduduki ranking lebih tinggi iaitu pada kedudukan 144 berbanding Malaysia di tangga ke-154 dunia.

“Memang kelab UAE juga berada dalam perancangan kita (Persatuan Bolasepak Malaysia-FAM), namun kalau boleh kita nak pasukan menentang lawan yang sama tahap seperti pasukan kebangsaan dari negara-negara Arab.

“Saya boleh sahkan, kita berunding dengan Yaman untuk adakan perlawanan persahabatan di mana mereka juga pasukan yang bagus di rantau itu.

“Dalam masa sama, kita juga boleh kumpul mata ranking apabila lawan Yaman nanti berbanding bertemu kelab UAE yang tak beri pungutan mata, jadi dah macam rugi pula.

“Tapi, sekiranya tak berjaya, kita akan gunakan pelan B iaitu cari kelab-kelab UAE sebagai ujian terakhir buat pasukan Cheng Hoe menguji pemain-pemain nanti,” katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadual berdepan UAE pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai bulan depan.

Ketika ini, pasukan negara menduduki tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata dan berpeluang cerah untuk layak ke Piala Asia 2023 sekiranya mampu mengutip maksimum enam mata dalam baki tiga lagi aksi termasuk bertemu UAE, Vietnam dan Thailand selepas ini.

“Kita mohon kepada Yaman kalau boleh dilangsungkan di UAE, tapi kalau mereka minta bermain di Yaman, kita akan cuba usahakan,” kata Yusoff yang turut memegang jawatan selaku Timbalan Presiden FAM.

Sebelum ini, aksi pemanas badan bertemu Bahrain terpaksa dibatalkan susulan arahan kerajaan Bahrain yang menghalang perjalanan masuk ke negara itu kepada beberapa buah negara yang diserang wabak Covid-19 termasuk Malaysia, Singapura dan China.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 6:30 AM