CHENG Hoe. FOTO Asyraf Hamzah
CHENG Hoe. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim

PEMBATALAN aksi pemanas badan sebelum turun berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai 26 Mac depan memeningkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Menurut Cheng Hoe, keputusan Bahrain yang enggan meneruskan aksi persahabatan di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, Bahrain pada 21 Mac depan sangat mengejutkan, namun beliau menerimanya dengan hati terbuka selepas difahamkan tindakan itu disebabkan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Bagaimanapun, beliau mengakui perancangan pasukan terganggu ketika barisan kejurulatihan memasang beberapa strategi dan taktikal untuk digunakan bertemu Bahrain sebagai eksperimen sebelum menentang UAE.

“Kita tahu tahap Bahrain dan UAE tak jauh beza, jadi apabila ia dibatalkan memang mengganggu juga perancangan kita kerana bukan mudah nak bertemu UAE nanti.

“Apapun saya positif pihak pengurusan FAM dapat cari satu alternatif untuk adakan juga satu perlawanan persahabatan.

“Kalau kita tak dapat aksi persahabatan itu memang sukar kerana saya pun selaku jurulatih melihat perlawanan memanas badan itu sedikit sebanyak memberi pemain kita momentum atau dapatkan kecergasan kerana kita dah lama tak beraksi bersama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, FAM memaklumkan aksi persahabatan antarabangsa bertemu Bahrain dibatalkan susulan arahan Kerajaan Bahrain yang mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara itu membabitkan negara berdekatan atau berhampiran dengan wabak Covid-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:15 AM