SESI latihan tidak mencukupi kekalkan momentum pemain di tahap optimum dan terbaik. FOTO Arkib NSTP
SESI latihan tidak mencukupi kekalkan momentum pemain di tahap optimum dan terbaik. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan pasukannya bakal menghadapi 'bala besar' jika Liga Malaysia tidak dapat bersambung pada September depan, sekali gus berhadapan kesukaran merealisasikan impian untuk meneruskan aksi cemerlang di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Walaupun anak buahnya mempunyai tempoh untuk menjalani sesi latihan pusat, ia sebenarnya tidak mencukupi untuk mengekalkan momentum pemain di tahap optimum dan terbaik.

Faktor itu berikutan pemain tidak ada kemampuan sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan kompetitif di pentas antarabangsa serta kekurangan motivasi jika liga musim ini tidak dapat diteruskan.

"Jika liga dapat bermula pada September ini, pemain sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk mereka bersedia sepanjang tempoh beberapa bulan ini daripada sekadar melakukan latihan sendirian di rumah.

"Pemain juga dapat mencari kembali sentuhan mereka dalam soal fizikal dan kecergasan bersama pasukan masing-masing sebelum sertai pasukan kebangsaan.

"Sudah tentu saya harap liga dapat diteruskan seperti dirancang demi memastikan pemain berada di tahap terbaik terutama soal fizikal dan stamina walaupun soal kesihatan adalah paling utama kerana penularan wabak Covid-19 sukar untuk diramal," katanya, di sini.

Berdasarkan perancangan terbaharu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang masih tertakluk kepada kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), skuad Harimau Malaya akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober di Dubai dan Vietnam pada 13 Oktober di Kuala Lumpur.

Sebelum turun berentap dalam dua perlawanan itu, skuad negara dalam perancangan mengaturkan satu aksi persahabatan bertemu Bahrain pada 3 Oktober di Manama.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merancang untuk menyambung kembali Liga Super serta Liga Perdana pada 1-2 September dan berakhir pada 26-27 September ini.

Bagaimanapun, situasi di Vietnam dan UAE ternyata lebih baik berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin terkawal apabila Vietnam dijangka memulakan liga tempatan pada Jun manakala UAE pada Ogos sementara Thailand juga akan bermula pada September seperti dirancang Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 6:30 AM