Reaksi Niko Kovac ketika perlawanan Bundesliga Jerman. FOTO File EPA
Reaksi Niko Kovac ketika perlawanan Bundesliga Jerman. FOTO File EPA
AFP

BAYERN Munich memecat jurulatihnya Niko Kovac sehari selepas juara Jerman itu mengalami kekalahan bersejarah 1-5 berdepan Eintracht Frankfurt untuk meneruskan prestasi buruk sejak beberapa minggu lalu.

“Bayern Munich FC sudah melepaskan ketua jurulatih Niko Kovac daripada tugasnya,” menurut kenyataan kelab itu.

Keputusan bersama sudah dibuat antara kedua-dua pihak susulan perbincangan bersama presiden kelab Uli Hoeness, pengerusi kelab Karl-Heinz Rummenigge, pengarah sukan Hasan Salihamidzic dan Kovac sendiri.

“Prestasi pasukan kami dalam beberapa minggu ini dan keputusan menunjukkan perlu ada tindakan dilakukan,” kata Rummenigge.

Pembantu jurulatih Hansi Flick akan mengambil alih tugas membimbing pasukan sehingga diberi tahu kelak menurut kenyataan itu lagi.

Pengendali berusia 48 tahun yang juga bekas pemain antarabangsa Croatia berkata ia adalah tindakan tepat buat pasukan yang menduduki tempat keempat dalam carta liga.

“Saya fikir ini adalah keputusan tepat untuk kelab ini buat masa ini.” kata Kovac.

“Saya berterima kasih kepada Bayern untuk tempoh 18 bulan ini. Dalam tempoh itu pasukan kami menang kejuaraan Bundesliga, Piala DFB dan Piala Super. Ia tempoh yang hebat. Saya berharap kelab dan semua pemain memperoleh kejayaan terbaik.

Bayern akan beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara berdepan Olympiakos pada awal pagi Khamis sebelum berdepan Borussia Dortmund dalam liga utama Jerman pada pagi Ahad.

“Kami semua kesal dengan perubahan ini. Saya berterima kasih kepada Niko Kovac bagi pihak Bayern terhadap sumbangannya terutamanya kejuaraan berganda musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:24 AM