VINCENT Kompany. FOTO AFP
VINCENT Kompany. FOTO AFP
AFP

Munich: Vincent Kompany dipilih sebagai jurulatih Bayern Munich seterusnya tetapi butiran mengenai kontraknya masih perlu diperincikan, kata ahli lembaga penyeliaan kelab, Karl-Heinz Rummenigge.

Menurut tabloid Jerman, Bild dan akhbar Inggeris, The Guardian, pengendali dari Belgium berusia 38 tahun itu secara prinsipnya sudah mencapai persetujuan dengan Bayern meskipun gagal membantu Burnley kekal di Liga Perdana musim depan.

Rummenigge memberitahu Sky Italia hanya terdapat beberapa butiran yang perlu diselesaikan sebelum Kompany boleh menyertai kelab itu.

"Pengarah sukan kami telah memilih Kompany, ia belum rasmi lagi, cuma ada beberapa butiran akhir untuk diselesaikan," kata bekas penyerang berusia 68 tahun itu kepada Sky.

Rummenigge berkata, bos Manchester City, Pep Guardiola membantu mereka untuk memilih Kompany.

"Guardiola sangat membantu kami. Beliau pernah bekerjasama dengan Kompany yang pernah menggalas tugas kapten di City dan mengikuti perkembangannya ketika di Burnley," kata Rummenigge.

Bayern bersetuju untuk berpisah dengan jurulatih, Thomas Tuchel pada Februari lalu selepas tewas kepada Bayer Leverkusen dalam perebutan kejuaraan Bundesliga.

Kompany mempunyai pengalaman di Bundesliga apabila pernah bermain di Hamburg sebelum menyertai Manchester City.

Dia membimbing Burnley pada Julai 2022 dan membawa kelab itu kembali ke Liga Perdana sebagai juara Liga Kejuaraan pada musim sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 9:26 AM