STEWART ketika beraksi bersama pasukan Pahang.
STEWART ketika beraksi bersama pasukan Pahang.

Pengadil, pengadilan serta keadilan menjadi buah mulut dunia bola sepak tempatan serta antarabangsa. Keputusan setiap perlawanan bola sepak ditentukan oleh elemen tertentu seperti kaliber pemain dan taktikal perlawanan. Tetapi, ada kalanya ‘pengaruh luar’ memainkan peranan mengusik psikologi pengadil.

Bayern Munich antara pasukan besar dunia. Pasukan gergasi Jerman ini meletak harapan tinggi pada setiap perlawanan serta kejohanan disertai. Pasukan ini juga dibarisi pemain bertaraf dunia selain cuba mencapai inovasi menerusi corak permainan.

Begitu juga pasukan gergasi Sepanyol Real Madrid yang sudah mencipta sejarah tidak terhingga dengan memenangi 11 takhta kelab Eropah. Liga Juara-Juara Eropah menjadi mercu tanda pencapaian kelab terkemuka ini.

Justeru, perlawanan di antara kedua-dua pasukan ini terutama di peringkat suku akhir memang memerlukan tahap pengadilan tinggi. Pentas sudah disediakan dengan pengadil FIFA begitu berpengalaman, Viktor Kassai dan pembantunya diberi tanggungjawab untuk memastikan perlawanan ini berjalan lancar.

Bayern Munich mempunyai pengaruh antara kelab terkemuka Eropah yang sering mengkritik UEFA dan FIFA. Presiden Bayern Munich Uli Hoeness antara suara lantang mempertahankan hak. Begitu juga dengan Pengerusi Bayern Munich Karl Heinz Rummenigge.

Apa pula kena mengena pengurusan kelab dengan perlawanan yang harus diadili dengan sempurna?

Seterusnya, keputusan perlawanan suku akhir kedua sudah ditentukan pengadil. Perlawanan ini menurunkan enam pengadil tapi keputusan adalah atas dasar ‘sudah ditentukan’. Kita tidak menuduh mana-mana pihak tetapi jelas sesiapa yang menonton pertemuan itu pasti bersetuju kumpulan pengadil yang ditugaskan mengendalikan perlawanan itu bagaikan mempunyai agenda tersendiri.

Terutama sekali keputusan ofsaid yang gagal dikesan. Dua keputusan ofsaid memberi peluang kepada Cristiano Ronaldo untuk menjaringkan dua gol. Bukan situasi yang boleh diragukan kerana jelas pemain ini jauh ofsaid. Bagi melengkapkan hatrik, Ronaldo jelas menggunakan kelebihan apabila berada di posisi ofsaid sebelum menjaringkan gol hasil jolokan rakan sepasukan Marcelo.

Sebagai pengadil, tugas utama adalah untuk mengadili perlawanan tetapi jelas pertemuan di antara Real Madrid menentang Bayern Munich ini berbeza. Keputusan perlawanan ini bagaikan sudah ditentukan pengadil.

Bukankah itu sama dengan ‘mengatur perlawanan’?

Begitu lama kita di Malaysia terpaksa telan kelakuan bekas pertahanan Pahang Damian Stewart yang begitu ganas permainannya. Pemain ini sentiasa memburu penyerang lawan manakala pengadil kecut perut untuk membuat keputusan. Adakah pengadil tidak begitu memahami undang-undang permainan yang sudah menentukan tindakan wajar mengikut kesalahan? Adakah pengadil dengan tersendiri merasai tekanan dari majikan? Adakah pengadil lebih prihatin menjaga periuk nasi sendiri?

Setiap kali tuduhan dilemparkan, maka akan berlaku debat dan pelbagai pendapat akan diluahkan. Ini adalah kegagalan sistem yang sudah ada perlembagaan.

Setiap individu akan menjadi mangsa sekiranya pertembungan konflik berlaku dengan perlembagaan bola sepak di Malaysia sudah menggalakkan sistem ini.

Di Singapura, tidak lama lagi akan diadakan pilihan raya bola sepak akan berlaku. Jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) akan ditentukan oleh dua calon yang sudah ditetapkan. Salah seorang daripada calon itu, Bill Ng adalah Pengerusi Hougang United. Bertanding menentang beliau ialah bekas Naib Presiden FAS Lim Kia Tong.

Sepatutnya, pencalonan Bill dibatalkan kerana akan berlaku [conflict of interest’ sekiranya beliau dilantik. Tetapi perlembagaan FAS tidak mempunyai statut yang melarang Bill daripada menjadi calon untuk merampas kerusi presiden.

Kembali kita ke topik pengadil yang tanpa diarah, disuruh, diugut, dipaksa akan membuat keputusan mengikut kehendak hati! Tidak ubah seperti apa yang Kassai lakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 6:33 AM