Sarri disahkan dijangkiti kuman dalam paru-paru. FOTO REUTERS
Sarri disahkan dijangkiti kuman dalam paru-paru. FOTO REUTERS
Agensi

MAURIZIO Sarri disahkan menghidap pneumonia dan bakal terlepas aksi pertama Serie A selaku bos Juventus.

Bekas pengendali Chelsea berusia 60 tahun itu, mengalami selesema minggu lalu dan terlepas sesi latihan hujung minggu Juventus selepas dinasihatkan berehat oleh doktor.

Bagaimanapun juara Serie A itu memberitahu Sarri disahkan dijangkiti kuman dalam paru-paru.

Masalah kesihatan itu hadir ketika skuadnya bertandang ke Parma untuk perlawanan pembukaan liga, Sabtu ini.

Malah, pasukan itu masih belum dapat mengesahkan sama ada Sarri akan bertandang bersama pemainnya dan dia juga terlepas perlawanan persahabatan menentang Triestina, kelmarin.

Juventus dalam kenyataan menyebut: “Maurizio Sarri yang berehat minggu lalu berada di JTC Continassa, semalam untuk meneruskan kerjasama bersama kakitangan.

“Malangnya, dia tidak dapat mengendalikan latihan di padang disebabkan selesema berterusan dialaminya sejak minggu lalu.

“Dia menjalani pemeriksaan lanjutan untuk pengesahan pneumonia dan memerlukan terapi tertentu disyorkan oleh doktor.

“Jurulatih memberi kebenaran kepada kelab untuk memberitahu tahap kesihatannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 2:22 PM