Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (tengah) dikuarantin selepas tiba di Itali. FOTO File AFP
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (tengah) dikuarantin selepas tiba di Itali. FOTO File AFP
AFP

GIORGIO Chiellini mengetuai sesi latihan individu ketika barisan pemain Juventus kembali ke pusat sukan kelab itu, ketika Cristiano Ronaldo memulakan pengasingan dua minggu sejurus pulang ke Itali.

Kapten pasukan Chiellini, 35, tiba awal dengan pertahanan Itali, Leonardo Bonucci memakai topeng muka hitam, diikuti pemain tengah, Aaron Ramsey.

Perancang tengah, Miralem Pjanic kemudian tiba bersama-sama Juan Cuadrado, Mattia De Sciglio, Federico Bernardeschi dan Daniele Rugani.

Juara Serie A Juventus berkata sesi latihan berkenaan, yang dibenarkan selepas mendapat lampu hijau daripada kerajaan Itali pada Ahad, diadakan secara individu dan kehadiran berperingkat bagi memenuhi peraturan ditetapkan.

Pemandangan daripada J Hotel berhampiran Pusat Latihan Continassa Juventus di Turin. FOTO AFP
Pemandangan daripada J Hotel berhampiran Pusat Latihan Continassa Juventus di Turin. FOTO AFP

"Sehari selepas melakukan ujian semalam di J Medical, beberapa pemain Juventus mula berlatih di Pusat Latihan Continassa, di mana mereka secara rasmi memulakan proses membina kembali kecergasan," tambah Juve.

Ronaldo kembali ke Itali selepas dua bulan mengasingkan diri di kepulauan Madiera, dan kali terakhir dia beraksi bersama Juventus adalah ketika perlawanan berdepan Inter Milan pada 8 Mac secara tertutup.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu kembali bersama keluarganya ke Turin menaiki jet peribadi, dan dikuarantin sementara menunggu ujian.

Kementerian dalam negeri membenarkan pemain-pemain kembali ke pusat latihan kelab dua minggu lebih awal daripada jangkaan, sekali gus memberi harapan kepada musim 2019-20 untuk bersambung.

Selain Juventus, beberapa kelab liga utama Itali turut memulakan sesi latihan masing-masing antaranya Atalanta, Bologna, Udinese, Sassuolo dan Lecce.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 7:45 AM