Lee Chong Wei (tengah) bersama Lin Dan dan Chen Long. FOTO/ASWADI ALIAS
Lee Chong Wei (tengah) bersama Lin Dan dan Chen Long. FOTO/ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


BUKAN sekadar kembali menjuarai Terbuka Malaysia, malah Lin Dan juga menerima penghormatan tertinggi apabila trofi kemenangan disampaikan oleh juara 12 kali, Datuk Lee Chong Wei.

Menurut juara dua kali Sukan Olimpik itu, ini kali pertama dia menerima trofi kemenangan daripada Chong Wei ketika dia sendiri tidak pernah menyampaikan hadiah kepada pemain lain.

“Ini kali kedua saya muncul juara di Terbuka Malaysia, kali pertama ketika menentang Chong Wei. Bagaimanapun, hari ini dia sendiri yang menyampaikan hadiah kemenangan kepada saya,” katanya yang menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long 9-21, 21-17, 21-11 di Arena Axiata semalam.

Ujar Lin Dan, selepas bertemu Chong Wei di majlis penyampaian hadiah, dia berharap akan bertemu kembali bekas pemain nombor satu dunia itu tapi kali ini di gelanggang.

Lin Dan kembali bergelar juara selepas kali terakhir melakukannya di Terbuka New Zealand tahun lalu dan dia juga menamatkan badi gagal melepasi pusingan suku akhir sejak Masters Indonesia (pusingan pertama), Terbuka Jerman (pusingan kedua), Seluruh England (pusingan pertama) dan Terbuka Switzerland (suku akhir).

“Meraih kejuaraan di sini membuktikan latihan saya selama ini membuahkan hasil, walaupun sebelum ini ada beberapa kejohanan tumpas di pusingan awal.

“Juara di kejohanan berstatus 750 membuktikan mimpi buruk saya sebelum ini sudah berakhir dan sedikit demi sedikit kembali kepada tahap sebenar. Saya ingin berterima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan walaupun ketika saya kalah. Saya kembali juga atas semangat yang mereka berikan,” katanya.

Lin Dan dan Chen Long pernah beraksi di final Terbuka Malaysia 2015 yang menyaksikan Chen Long muncul juara selepas menang 20-22, 21-13, 21-11.

Kali pertama Lin Dan muncul juara Terbuka Malaysia pada 2017, ketika menumpaskan Chong Wei 21-19, 21-14.

Sementara itu, juara beregu campuran, Zheng Siwei-Huang Yaqiong menundukkan rakan senegara, Wang Yilyu-Huang Dongping 21-17, 21-13.

Final beregu wanita turut menyaksikan dominasi China apabila Chen Qingchen-Jia Yifan mengalahkan Du Yue-Li Yinhui 21-14, 21-15.

Jaguh perseorangan wanita Taiwan yang juga pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying, muncul juara buat kali keempat selepas mengalahkan wakil Jepun, Akane Yamaguchi, 21-16, 21-19.

China melengkapkan penguasaan di Terbuka Malaysia kali ini apabila gandingan beregu lelaki, Li Junhui-Liu Yuchen menumpaskan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun 21-12, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:01 AM