AKSI Lin Dan berdepan Cheng Long di Stadium Putra.
AKSI Lin Dan berdepan Cheng Long di Stadium Putra.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas gagal menjuarai Siri Super Premier Terbuka Malaysia buat kali ketiga semalam, Lin Dan berhasrat mencuba lagi tahun depan dan berharap Datuk Lee Chong Wei ketika itu masih lagi bermain.

Lin Dan semalam hampir menang, namun dikecewakan rakan senegara Chen Long pada perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Walaupun penyokong tempatan memberi sokongan padu kepada Lin Dan, Chen Long selaku pemain pilihan utama tidak berdepan masalah menang 20-22, 21-13, 21-11.

Kemenangan itu menyaksikan China kembali menguasai acara perseorangan lelaki selepas Cheng Hong melakukannya pada 2003, sebelum Chong Wei mengungguli dari 2004 hingga 2014 (kecuali 2007 dimenangi Peter Gade Christensen dari Denmark).

Sebelum ini, Lin Dan turut mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia pada 2005 dan 2006 namun Chong Wei pula menjadi penghalang walaupun dia gah dengan dua pingat emas Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London).

“Saya akan datang lagi ke sini tahun depan. Lagipun, kejohanan itu nanti masih lagi dalam tempoh untuk mengumpul mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 Rio,” katanya selepas perlawanan tamat semalam.

Jelasnya, dia mahu beraksi lagi di Terbuka Malaysia bukan hanya untuk mengutip mata Olimpik, tetapi juga kerana ingin menentang Chong Wei yang dua kali mengecewakannya di kejohanan ini.

“Saya teruja untuk bermain di Sukan Olimpik 2016 jika Chong Wei turut sama melayakkan diri. Tidak kira siapa menang kali ini di Brazil, kalau boleh kami mahu menjadi pemain perseorangan paling tua memenangi pingat emas.

“Saya akan bekerja keras untuk mempersiapkan diri bagi Olimpik 2016,” katanya yang terkenal dengan gelaran Super Dan.

Ini kali kedua Lin Dan tumpas kepada Chen Long dalam sembilan pertemuan.

Menurut Chen Long yang berusia 24 tahun, dia mengakui beraksi dengan baik untuk menumpaskan Lin Dan buat kali kedua sepanjang kariernya.

“Set pertama, saya banyak kehilangan mata dan perlawanan ini juga sangat sukar. Bagaimanapun, saya bersedia untuk sebarang kemungkinan dan berpuas hati dengan prestasi saya hari ini (semalam),” katanya yang kali pertama mengalahkan Lin Dan di separuh akhir Seluruh England 2015.

Jelasnya, walaupun pernah menumpaskan Lin Dan dan Chong Wei, dia masih menganggap kedua-dua pemain itu berada dalam kelas tersendiri.

“Mereka sudah lama beraksi dan tidak ada siapa boleh mengatasinya termasuk Peter Gade serta Taufik Hidayat. Banyak lagi saya perlu belajar dari mereka untuk kekal konsisten,” katanya yang berjaya meraih trofi dan membawa pulang wang tunai RM135,933.

Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, milik Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia menyingkirkan gandingan utama dunia dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 14-21, 21-15, 23-21.

Juara dunia, Carolina Marin sekali lagi menghampakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012, dari China, Li Xerui untuk merangkul kejuaraan perseorangan wanita dengan kemenangan 19-21, 21-19, 21-17.

Bagaimanapun, China mengungguli acara beregu wanita dengan gandingan adik-beradik, Luo Ying-Luo Yu menyingkirkan Chang Ye Na-Jung Kyung Eung dari Korea Selatan 21-18, 21-9.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:18 AM