Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketiadaan juara bertahan, Datuk Lee Chong Wei menyaksikan pemain China, Lin Dan dan Chen Long (gambar) bermaharajalela di Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 apabila kedua-duanya mara ke saingan akhir.

Begitupun, Lin Dan terpaksa menempuh laluan sukar untuk memenangi perlawanan separuh akhir semalam sebelum menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Jan O Jorgensen 14-21, 21-19, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Chen Long yang diletakkan sebagai pilihan pertama tidak berdepan masalah untuk menumpaskan rakan senegara, Wang Zhengming 21-18, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung selama 36 minit.

Menurut Chen Long, perlawanan akhir hari ini dijangka sengit walaupun Lin Dan sudah berusia namun tahap fizikalnya masih lagi hebat dan bebas dari sebarang kecederaan.

“Apa yang penting adalah memenangi perlawanan tidak kira berapa usia anda sekali pun,” katanya selepas tamat perlawanan separuh akhir semalam.

Dalam aksi beregu lelaki Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan berjaya mengejutkan pilihan kedua dari Denmark Mathias Boe-Carsten Mogensen 21-16, 18-21, 21-16 untuk bertemu Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong (Korea Selatan) yang mengalahkan pasangan Taiwan Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 21-15, 20-22, 22-20.

Carolina Marin dari Sepanyol bakal mengulangi pertemuan akhir Kejohanan Dunia 2014 apabila menentang Li Xuerui dari China.

Bagaimanapun, Xuerui terpaksa berhempas-pulas untuk menundukkan pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal 13-21, 21-17, 22-20 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam lapan minit manakala Carolina menumpaskan seorang lagi pemain China Wang Shixian 21-17, 24-22 untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia buat kali pertama.

Aksi beregu wanita pula menyaksikan Luo Ying-Luo Yu dari China berjaya menumpaskan rakan senegara, Ou Dongni-Yu Xiaohan 17-21, 21-19, 21-9, manakala satu lagi perlawanan separuh akhir dimenangi pasangan Korea Selatan Chang Ye Na-Jung Kyung Eun selepas mengalahkan satu lagi beregu China Tian Qing-Xia Huan 24-22, 21-15.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran Xu Chen-Ma Jin (China) berjaya mara ke perlawanan akhir apabila mendapat kemenangan percuma selepas rakan senegaranya, Liu Cheng-Bao Yixin menarik diri sebelum perlawanan bermula.

Mereka akan bertemu rakan senegara Zhang Nan-Zhao Yunlei yang sebelum itu mengalahkan pasangan Indonesia Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 21-19, 14-21, 21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:21 AM