VIVIAN (kanan), Khe Wei  pamer aksi mantap ketika kalahkan pasangan nombor dua dunia dari Indonesia.
VIVIAN (kanan), Khe Wei pamer aksi mantap ketika kalahkan pasangan nombor dua dunia dari Indonesia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei melakar kejutan Terbuka Indonesia apabila menumpaskan pasangan tuan rumah yang berada di ranking kedua dunia, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii semalam.

Dalam aksi pusingan kedua itu, Vivian-Khe Wei memberikan persembahan mantap untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-19 Istora Gelora Bung Karno semalam.

Ini adalah kemenangan kedua pasangan negara itu ke atas Maheswari-Greysia apabila kali terakhir di final Sukan SEA Myanmar 2013.

Menurut Vivian, mengalahkan pemain ranking dua dunia sangat membanggakan buat mereka dan lebih menarik mampu melangkah ke suku akhir.

“Keadaan dalam stadium memang sangat berbeza dan saya gembira kami berjaya mempercepatkan diri untuk menyesuaikan dengan keadaan di dalam gelanggang,” katanya selepas perlawanan semalam.

Jelasnya, mereka sudah bersedia sekali lagi untuk berdepan penyokong tuan rumah bagi aksi suku akhir hari ini.

Vivian-Khe Wei akan berdepan satu lagi pasangan tuan rumah, Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut yang berjaya mengalahkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan 21-19, 19-21, 21-19.

Sementara itu, pemain tuan rumah, Jonatan Christie berjaya menceriakan penyokong sendiri apabila mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-12 ke atas jaguh China yang juga pilihan ketiga Lin Dan.

Kekalahan Lin Dan itu membuka peluang cerah buat pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Rio 2016, Datuk Lee Chong Wei untuk muncul juara selepas dia berjaya mara ke suku akhir apabila menumpaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 21-10, 21-13

Turut mara pasangan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong apabila mengalahkan rakan senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 22-20, 22-20 dan mereka akan berdepan pilihan kelima dari China, Chai Biao-Hong Wei hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 8:40 AM