AXELSEN
AXELSEN
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir meraih kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali ke-11 apabila mudah mara ke separuh akhir menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark semalam.

Tahun lalu Chong Wei terlepas peluang beraksi di kejohanan ini apabila berdepan penggantungan akibat kes doping dan semalam dia begitu semangat untuk merampas semula kejuaraan dari pemain China Chen Long.

Dalam aksi suku akhir di Stadium Malawati, Chong Wei melebarkan rekod kemenangan 8-0 ke atas Axelsen selepas menang 21-4, 21-13.

“Saya mahu memberikan aksi terbaik dan melupakan kekecewaan Seluruh England dan Terbuka India (tersingkir pusingan awal). Kali ini saya beraksi di depan penyokong sendiri sudah tentu mahu memberikan aksi paling terbaik,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Jelasnya, dia akan mempersiapkan diri sebaik mungkin berdepan Jan O Jorgensen, selepas jaguh Denmark itu mengalahkan Lin Dan dari China dalam satu lagi aksi suku akhir.

“Saya menjangkakan perlawanan esok (hari ini) akan lebih sukar, Jorgensen pula berjaya mengalahkan Lin Dan sebentar tadi (semalam).

Jorgensen mengejutkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) 21-17, 21-4.

Dalam pada itu, Chong Wei tidak berasa terlalu kecewa apabila gagal bertemu Lin Dan dalam aksi separuh akhir dan berharap masih mempunyai peluang berbuat demikian pada Piala Thomas dan Kejohanan Badminton Asia.

“Kami masih berpeluang bertemu di beberapa kejohanan lain selepas ini,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Satu lagi aksi separuh akhir hari ini bakal menyaksikan penyandang juara, Chen Long dari China menentang pemain muda Indonesia, Christie Jonatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 5:31 AM