Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Seperti dijangka pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei melangkah ke separuh akhir Terbuka China apabila menumpaskan Jan O Jorgensen dari Denmark semalam.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia itu terpaksa berhempas-pulas untuk mencatat kemenangan selepas diheret beraksi sehingga ke rubber set sebelum menang 21-11, 11-21, 21-10.

Menanti Chong Wei di separuh akhir hari ini musuh ketatnya dari China Lin Dan yang sebelum itu bergelut mengalahkan wakil Hong Kong Hu Yun sebelum menang 21-8, 10-21, 21-17.

Pertemuan dengan Lin Dan itu dianggap peluang terbaik untuk Chong Wei membalas dendam terhadap pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu selepas tewas pusingan kedua Terbuka Jepun September lalu.

Berdasarkan rekod pertemuan dalam 34 perlawanan Chong Wei hanya menang sembilan kali, selebihnya menyaksikan aksi berpihak kepada jaguh China itu.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock, beliau mengharapkan Chong Wei cuba untuk mencatat kemenangan ketika bertemu Lin Dan dan pemain nombor satu dunia, Chen Long.

“Saya mahu dia cuba mengatasi Lin Dan esok (hari ini). Maksud saya, cari formula mengalahkan Lin Dan yang berada pada prestasi terbaik. Bagi saya walaupun menentang Lin Dan atau Chen Long, paling penting tetap Sukan Olimpik Rio tahun depan,” katanya.

Mengulas aksi semalam, Seu Bock mengakui Chong Wei berjaya mengekalkan rentak walaupun diheret sehingga ke rubber set.

“Dia berjaya meningkatkan kelajuan permainan walaupun tidak bermain baik pada set kedua. Sesuatu yang positif melihat dia mampu bangkit walaupun sudah berusia 33 tahun,” katanya.

Kemenangan semalam menyaksikan Chong Wei melebarkan rekod ke atas Jorgensen 14-1 dan kali terakhir mereka bertemu pada Kejohanan Dunia di Jakarta Ogos lalu.

Pada 2009, Jorgensen pernah mengejutkan Chong Wei pada pusingan pertama Terbuka China apabila menang 21-6, 13-21, 21-17.

Sementara itu, pasangan beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho terkandas pada suku akhir selepas tumpas kepada pilihan pertama dari Jepun Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 21-17, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:12 AM