SERENA dan Venus Williams.
SERENA dan Venus Williams.
Reuters

SERENA dan Venus Williams sering menjadi tumpuan di Terbuka Miami namun tahun ini satu lagi pasangan adik beradik mahu mencuri perhatian dengan pemain nombor satu dunia Naomi Osaka membuka jalan buat kakaknya, Mari.

Pasangan adik beradik Williams mengumpul 11 trofi dari Miami dan kesemua kejayaan itu diraikan di Crandon Park, Key Biscayne.

Namun tahun ini kejohanan itu berpindah lokasi dan Stadium Hard Rock adalah ‘kampung halaman’ Osaka, di mana Naomi dan Mari membesar dan bermain tenis tidak jauh dari situ.

Naomi akan disertai Mari yang berada di ranking 338 dunia dan memerlukan tiket wildcard untuk menyertai kejohanan itu.

“Agak pelik apabila saya perlu menasihatinya sedangkan dia kakak saya,” kata Naomi pada sidang media hari ini.

“Tetapi dia melakukan kesalahan seperti pemain baharu.

“Semalam hujan sepanjang hari tetapi dia datang ke sini pada jam 11 pagi dan perlawanannya adalah yang keempat.

“Apa yang saya maksudkan, apa yang kamu lakukan? Saya perlu mengajarnya mengenai perkara itu.”

Pemain Jepun berusia 21 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mencipta kejutan, menjuarai dua gelaran Grand Slam terakhir dan mengumpul hadiah kemenangan AS$10.8 juta (RM43.8 juta) manakala Mari, setahun lebih tua berusaha mendaki ranking dengan mengumpul AS$58,000 (RM235,514).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:18 PM