NAOMI tekad bangkit di Stuttgart. FOTO/AGENSI
NAOMI tekad bangkit di Stuttgart. FOTO/AGENSI
AFP

BINTANG tenis nombor satu dunia Naomi Osaka mengharapkan kebangkitan daripada kekalahan sebelum ini dan menguasai gelanggang baharu apabila memulakan kempen gelanggang tanah liat di Stuttgart.

Juara Terbuka Australia dan Amerika Syarikat itu menikmati gemilangan di puncak saingan tenis wanita sepanjang tahun lalu, menjadi pemain wanita Jepun pertama menjulang Grand Slam dan yang pertama dari Asia menakluki ranking WTA bagi acara individu.

Namun selepas tewas pusingan awal di Dubai, Indian Wells dan Miami, Naomi berharap dapat menampilkan aksi terbaiknya di Stuttgart dan mencatat kejuaraan utama pertama di gelanggang tanah liat.

Selepas menjulang gelaran profesional pertama di Terbuka Indian Wells tahun lalu, pemain berusia 21 tahun itu melakar kejayaan di peringkat global apabila menyingkirkan Serena Williams pada final Terbuka AS September lalu.

Dia kemudian mempamer aksi bertenaga pada final Terbuka Australia menentang Petra Kvitova untuk kejuaraan utama kedua pada Januari.

Pada usia 21 tahun, dia menjadi antara nama paling dikenali dalam acara tenis wanita.

Malah pada minggu lalu, dia disenaraikan majalah TIME sebagai 100 orang paling berpengaruh 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 11:11 AM