Petra Kvitova. FOTO Agensi.
Petra Kvitova. FOTO Agensi.
AFP

MELBOURNE: Bintang Republik Czech Petra Kvitova berkata cara terbaik untuk menundukkan Naomi Osaka dari Jepun yang berada pada prestasi terbaik ialah dengan mengumpul mata awal dan bermain dengan agresif.

Pertembungan kedua-dua pemain itu di final Terbuka Australia esok turut menawarkan gelaran nombor satu dunia.

Kvitova, juara dua kali Wimbledon, menang 11 perlawanan berturut-turut dan beraksi pada tahap terbaik di Melbourne Park di mana dia belum tercicir satu permainan atau terpaksa bermain hingga ke tie-break.

Pemain 28 tahun itu teruja untuk beraksi di Grand Slam pertamanya sejak insiden perompak mengelar tangan kirinya di kediaman pemain kidal itu di Republik Czech pada penghujung tahun 2016.

“Ia mungkin lebih istimewa selepas apa yang saya harungi,” kata Kvitova yang bimbang tidak dapat menyertai kelompok elit sukan itu akibat insiden berkenaan.

Namun untuk melengkapkan kepulangannya, pemain pilihan kelapan itu perlu mengatasi juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Osaka, salah seorang pemain yang mampu menandingi servis kencang dan pukulan padu Kvitova.

“Naomi pada prestasi memberangsangkan. Dia pemain yang agresif, seperti saya.

“Jadi saya rasa siapa yang mengumpul mata awal dan menekan lawan dengan agresif akan menang,” katanya.

 

Kedua-dua pemain itu belum pernah bertembung di atas gelanggang dan pemenang final esok bakal menduduki ranking teratas dunia buat kali pertama dalam karier mereka.

“Sasaran saya ialah memenangi kejohanan ini, ranking perkara kedua,” kata Osaka yang kini berada di ranking keempat dunia.

Dua kemenangan Grand Slam berturut-turut akan meletakkan Osaka sebagai pemain pertama selain juara major 23 kali Serena Williams, memenangi dua major berturut-turut sejak Kim Clijsters di Terbuka AS 2010 dan Terbuka Australia 2011.

Osaka, 21, juga berpeluang menjadi pemain termuda melakukannya sejak Martina Hingis yang memenangi Terbuka AS 1997 dan Terbuka Australia 1998.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 5:51 PM