PEMAIN tengah Chelsea Ruben Loftus-Cheek (tengah) melepasi pemain Fulham. FOTO/AFP
PEMAIN tengah Chelsea Ruben Loftus-Cheek (tengah) melepasi pemain Fulham. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Chelsea bangkit daripada kekalahan kali pertama di saingan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Fulham 2-0 sebentar tadi menerusi gol sumbangan Pedro dan Ruben Loftus Cheek.

Tuan rumah mendominasi permainan di Stamford Bridge dan menjaringkan gol awal menerusi Pedro namun bergelut untuk mengekalkan rentak konsisten sehinggalah Loftus-Cheek yang masuk sebagai pemain gantian menambah gol kedua pada lewat permainan.

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengimpikan permulaan yang baik selepas dilantik membimbing kelab itu tetapi kekalahan 1-3 kepada Tottenham minggu lalu mencalarkan imejnya.

Tuan rumah yang menyambut kunjungan bekas pengurus, Claudio Ranieri yang kini membimbing Fulham, di depan seawal minit ke-4.

N'Golo Kante yang dikritik oleh Sarri ketika pertemuan dengan Spurs, menjadi watak penting kepada gol pertama itu apabila melorong bola cantik kepada Pedro di dalam kotak penalti sebelum menyempurnakannya dengan baik.

Gol Pedro itu adalah jaringan ke-1,000 Chelsea pada saingan Liga Perdana sekali gus muncul kelab ketiga melakar rekod itu selepas Manchester United dan Arsenal.

Chelsea menguasai babak pertama tetapi gagal untuk menambah gol.

Ranieri melakukan dua pertukaran pada separuh masa kedua apabila membawa masuk Floyd Ayite dan Aboubakar Kamara menggantikan Stefan Johansen dan Ryan Sessegnon.

Loftus-Cheek mengesahkan kemenangan Chelsea apabila merembat masuk dari sudut kanan pada minit ke-82.

   

   

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 10:40 PM