OLIVIER GIROUD
OLIVIER GIROUD
Agensi

LONDON: Maurizio Sarri berkata, Chelsea kini berdepan masalah besar akibat kemelut kecederaan berpanjangan selepas Olivier Giroud turut mengalami kecederaan buku lali ketika mengatasi Crystal Palace 1-0, semalam.

Giroud meninggalkan padang pada minit ke-76 selepas diterjah James Tomkins sewaktu menyumbat gol dalam kedudukan ofsaid yang dibatalkan pengadil.

Bagaimanapun, Chelsea bernasib baik apabila berupaya mempertahankan jaringan minit ke-51 N’Golo Kante untuk menjarakkan diri lima mata ke atas pasukan tangga kelima Arsenal.

Sari turut terpaksa mengetepikan khidmat Ruben Loftus-Cheek, Cesc Fabregas, Pedro dan Callum Hudson-Odoi untuk perlawanan semalam ekoran masalah kecederaan, dan kini mungkin perlu melupakan Giroud untuk beberapa minggu ketika jadual padat menanti Chelsea Januari nanti.

“Buku lalinya mengalami masalah,” kata bos Chelsea itu murujuk kepada Giroud. “Saya tidak tahu sejauh mana tahap kecederaannya. Kami perlu menunggu sehingga Isnin (hari ini).

“Saya fikir pada petang nanti saya akan berjumpa doktor, dan kami sudahpun kehilangan khidmat Pedro dan Hudson-Odoi.

“Ini masalah besar apatah lagi pada Januari kami perlu beraksi setiap tiga hari. Fabregas mempunyai masalah leher. Kecederaan itu dialami sewaktu lima minit terakhir latihan, jadi saya tidak pasti berapa lama dia perlu berehat.”

Chelsea yang terpaksa menunggu lama bagi memecah tembok Palace, menyaksikan percubaan mereka dua kali dihalang tiang gol dengan yang pertama menerusi sepakan bebas Willian diikuti percubaan sepakan gunting Ross Barkley.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 9:09 AM