PEMAIN Chelsea meraikan jaringan Loftus-Cheek. -Foto AFP
PEMAIN Chelsea meraikan jaringan Loftus-Cheek. -Foto AFP
Reuters

JARINGAN Olivier Giroud, Eden Hazard dan Ruben Loftus-Cheek serta penampilan sulung Liga Perdana Inggeris Callum Hudson-Odoi memberikan kemenangan Chelsea ke atas Brighton and Hove Albion 3-0, sekali gus melonjakkan peluang mereka merebut kelompok empat tangga teratas.

Kemenangan selesa daripada skuad tuan rumah yang meletakkan Chelsea di tangga kelima dan berkongsi mata dengan Arsenal di atas mereka, juga meredakan tekanan terhadap jurulatih Maurizio Sarri selepas beberapa aksi hambar sebelum ini.

Pemain tempatan Hudson-Odoi, yang bulan lalu membuat penampilan sulung bersama England namun tidak menjadi pilihan Chelsea, mencipta gol pembukaan apabila melakukan hantaran buat juara Piala Dunia Giroud untuk jaringan pada minit ke-38.

Bintang Belgium, Hazard menjadikan kedudukan 2-0 apabila menyambut hantaran Loftus-Cheek untuk melakukan sepakan lencong yang berjaya melepasi penjaga gol lawan Mat Ryan.

Tiga minit kemudian, Hazard melakukan hantaran yang berjaya disempurnakan Loftus-Cheek.

Hudson-Odoi, 18 yang diintai Bayern Munich serta kelab lain di dalam dan luar negaranya terbukti cemerlang dan mempengaruhi rentak perlawanan itu.

"Callum kini sudah bersedia untuk beraksi dalam setiap perlawanan juga perlawanan yang sukar kerana dia menunjukkan peningkatan sepanjang musim,” kata Sarri.

“Sukar untuk menjadi yang terbaik apabila anda berusia 18 tahun jadi dia boleh memperbaiki diri, perlu memperbaiki diri dan kemudian menjadi antara yang terbaik di Eropah.”

Sarri turut memuji graduan akademi Chelsea Loftus-Cheek dan pertahanan Denmark Andreas Christensen yang turut memberi impak.

“Mereka adalah pemain yang amat penting tetapi mempunyai potensi jadi mereka mampu menjadi pemain terbaik pada masa depan. Saya fikir pasukan ini akan lebih baik pada masa depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 10:59 AM