RUBEN LOFTUS-CHEEK
RUBEN LOFTUS-CHEEK
AFP

 

LONDON: Ruben Loftus-Cheek mencuri tumpuan minggu ini untuk mencabar tempat dalam kesebelasan utama Chelsea menentang Burnley, malam esok.

Hakikatnya pemain tengah England itu perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan Maurizio Sarri dia bersedia untuk menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris.

Hatrik ketika menang pada Liga Europa ke atas BATE Borisov mengesahkan potensi pemain berusia 22 tahun itu, yang cemerlang ketika dipinjamkan semusim di kelab jiran Chelsea di London, Crystal Palace musim lalu.

Persembahannya musim lalu memadai untuk memenangi tempat dalam skuad Gareth Southgate ke Piala Dunia, namun di peringkat kelab, Loftus-Cheek mendapati dia sukar menembusi pasukan utama Sarri dan tidak diragui ketua jurulatih Blues itu belum yakin dia bersedia diturunkan secara kerap.

Sejak Sarri tiba di Chelsea Julai lalu, beliau menekankan perlunya pemain memahami sistem bertahan serta permainan corak pegangan bola yang diterapkannya. Jurulatih itu menegaskan ia akan mengambil masa sekalipun beliau jelas percaya sesetengah pemain menyesuaikan diri lebih pantas.

Mateo Kovacic terus disenaraikan susulan dipinjamkan dari Real Madrid manakala Ross Barkley memenangi hati Sarri, semakin yakin dan berada jauh di depan Loftus-Cheek bagi kelab dan negara.

Apabila Southgate mengumumkan skuadnya bagi tugasan antarabangsa baru-baru ini, Barkley disenaraikan manakala Loftus-Cheek diketepikan, mencetus pendapat dia perlu berpindah secara pinjaman Januari depan bagi mengekalkan momentum karier mudanya.

Kecederaan kaki turut menjejas pemain itu, yang meningkat di Chelsea sejak menyertai kelab itu pada usia lapan tahun.

Loftus-Cheek bagaimanapun sedar dia berdepan tugas getir untuk memenangi hati Sarri.

“Beliau meminta saya meningkat dari segi bertahan dan posisi,” kata Loftus-Cheek.

“Saya bekerja keras membaikinya setiap hari ketika latihan. Beliau mahukan anda bermain secara bebas, itulah sebabnya kami boleh beraksi dengan cara permainan yang lancar. Ia benar-benar kerja yang bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 1:43 PM