LIONEL MESSI
LIONEL MESSI
AFP

BARCELONA: Ernesto Valverde mengakui percaturannya merehatkan Lionel Messi memakan diri apabila Barcelona terikat 1-1 menentang Athletic Bilbao di laman sendiri, tiga perlawanan tanpa kemenangan buat skuad kendaliannya itu.

Messi diturunkan pada minit ke-55 di Camp Nou dan percubaan pemain Argentina itu disudahkan seorang lagi pemain gantian, Munir El Haddadi ketika perlawanan berbaki enam minit untuk mengikat kedudukan 1-1.

Terdahulu Oscar de Marcos memberikan Bilbao gol pendahuluan pada babak pertama dan walaupun cuba memburu gol kemenangan, Messi dan Barca gagal melaksanakannya sehingga wisel penamat.

Selepas terikat dengan Girona di laman sendiri dan ditewaskan Leganes, Barca menuju Wembley untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Tottenham dengan prestasi kurang meyakinkan. Mereka turut kehilangan Sergi Roberto yang disahkan cedera selepas perlawanan.

“Pilihan meletakkan Messi di bangku simpanan adalah keputusan saya,” kata Valverde. “Dia mengharungi empat perlawanan dalam tempoh 10 hari dan saya fikir bagus untuk dia berehat, seperti (Sergio) Busquets, selain memikirkan tentang aksi Liga Juara-Juara.

“Saya tahu ia keputusan yang tepat. Ia berisiko dan pada situasi ini, ia tidak membuahkan hasil diharapkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 10:25 AM