Penyerang Barcelona, Lionel Messi (kanan) sentiasa memberi ancaman di barisan pertahanan lawan. FOTO AFP
Penyerang Barcelona, Lionel Messi (kanan) sentiasa memberi ancaman di barisan pertahanan lawan. FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi dikasari dan kemudian menyempurnakan penalti ketika Barcelona kembali memberikan tekanan buat Real Madrid dengan kemenangan 2-0 ke atas Leganes di Camp Nou yang kosong, pagi ini.

Messi dijatuhkan pada separuh masa pertama oleh Unai Bustinza dan sekali lagi menjadi mangsa pada babak kedua yang memberikan penalti dan berjaya dilaksanakannya.

Selepas 33 penampilan, Messi kini mengumpul 26 gol sepanjang musim.

Pada lapan perlawanan terakhir dia meledak tujuh gol dan lapan bantuan untuk gol.

Pemain berusia 17 tahun, Ansu Fati sebelum itu memberikan gol awal buat Barcelona, meneruskan rentak baiknya sepanjang musim dengan gol kelima daripada lapan permulaan liga.

Leganes boleh mengancam juara bertahan itu jika Miguel-Angel Guerrero menyempurnakan dua peluang keemasan tetapi yang pertama dikeluarkan dari garisan permainan dan kedua terkena palang.

"Kami ada sedikit tuah pada permulaan," kata jurulatih Barca, Quique Setien.

Tetapi persembahan baik pasukannya memberikan mereka kelebihan lima mata mengatasi Madrid, yang boleh kembali mengurangkannya kepada dua mata dengan menang di Valencia awal pagi Jumaat ini.

Valencia akan menjadi ujian lebih sukar buat ketajaman serangan Madrid selepas berehat tiga bulan dan Barca juga boleh menjangkakan ujian lebih mencabar berbanding Leganes, bermula dengan kunjungan ke atas pasukan di tangga ketiga, Sevilla pada awal pagi Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 8:12 AM