COUTINHO (kiri) kali pertama beraksi bersama Barca. FOTO/AFP
COUTINHO (kiri) kali pertama beraksi bersama Barca. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Lionel Messi menembusi gawang lawan ketika Barcelona menewaskan Espanyol 2-0 untuk mara ke separuh akhir Copa del Rey yang menyaksikan Philippe Coutinho melakukan penampilan pertamanya, awal pagi tadi.

Luis Suarez menjaringkan gol pertama pada suku akhir kedua sebelum Messi menjadikan agregat 2-1 bagi membolehkan juara bertahan mengatasi defisit 1-0 pada aksi pertama minggu lalu.

Messi terlepas penalti dalam perlawanan itu yang menyaksikan rekod tanpa kalah pendahulu La Liga sejak Ogos lalu lebur, tetapi Barca bangkit untuk menyertai Sevilla, Valencia dan Leganes ke separuh akhir.

Coutinho yang dibeli dengan harga 142 juta pound (RM778.7 juta) dari Liverpool, awal bulan ini duduk di bangku simpanan buat kali pertama.

Pemain Brazil berusia 25 tahun itu masuk di pertengahan babak kedua menggantikan Andres Iniesta sambil diiringi tepukan gemuruh penyokong di Nou Camp.

Ketika itu anak buah Ernesto Valverde telah pun selesa mendahului lawan yang Countinho pernah beraksi secara pinjaman dari Inter Milan pada 2012.

SUAREZ (kanan) jaring gol pertama Barca. FOTO/AFP
SUAREZ (kanan) jaring gol pertama Barca. FOTO/AFP

Suarez menanduk masuk bola hantaran Aleix Vidal dari sebelah kanan pada minit ke-9 untuk gol pertama dan pemain Uruguay itu kini menjaringkan tujuh gol dari enam perlawanan terakhir Barca.

Messi menambah gol kedua pada minit ke-25 selepas rembatannya terkena pertahanan lawan, Naldo dan gagal diselamatkan penjaga gol, Pau Lopez.

Jaringan itu adalah yang ke 4,000 Barcelona dalam masa rasmi perlawanan.

Barcelona mempunyai banyak peluang menjaringkan gol tetapi gagal dimanfaatkan barisan hadapan.

Semalam, Real Madrid dihampakan Leganes, 2-1 dan meningkatkan lagi tekanan kepada jurulatih, Zinedine Zidane.

Valencia menewaskan Alaves melalui penalti sementara Sevilla menewaskan Atletico Madrid 3-1 untuk agregat 5-1.

Sebelum perlawanan bermula, pemain veteran Argentina, Javier Mascherano diberi penghormatan terakhir sebelum menyertai kelab Liga Super China, Heibei China Fortune. Mascherano beraksi tujuh setengah tahun di Nou Camp.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 8:43 AM