MESSI (tengah) cuba lepasi kawalan pemain Bilbao. -Foto AFP
MESSI (tengah) cuba lepasi kawalan pemain Bilbao. -Foto AFP
AFP

MADRID: Barcelona merakam permulaan terbaik La Liga dengan pengendalinya Ernesto Valverde menikmati kepulangan membanggakan ke Athletic Bilbao dalam kemenangan 2-0 hasil jaringan Lionel Messi dan Paulinho awal pagi tadi.

Valverde kini mencatat 12 kemenangan dan satu seri dalam 13 perlawanan La Liga dan Liga Juara-Juara pertamanya untuk meletakkan Barca di puncak liga dengan kelebihan empat mata ke atas Valencia, yang menewaskan Alaves 2-1 sebelum itu.

Gergasi Catalan itu turut melebarkan jurang kepada lapan mata ke atas Real Madrid yang akan bertandang ke Catalunya untuk berdepan Girona malam ini.

Paulinho (kiri) melepaskan rembatan ke arah gawang Bilbao. -Foto Reuters
Paulinho (kiri) melepaskan rembatan ke arah gawang Bilbao. -Foto Reuters

Valverde meninggalkan Bilbao musim panas lalu dan impak pengendali itu cukup besar buat Bilbao dan juga Barcelona - di mana bekas kelabnya hanya menang satu daripada 12 perlawanan terakhir mereka.

“Athletic memberi tekanan kepada di babak kedua dan menjadikan keadaan sukar buat kami,” kata Valverde. “Kami kerap hilang bola, dan tanpa peluang-peluang yang bagus, Athletic begitu berbisa apabila mendapat bola.”

Tuan rumah bermula baik dan hampir membuka jaringan menerusi Aritz Aduriz pada minit ke-19, tetapi penjaga gol Barca Marc-Andre ter Stegen bertindak cemerlang menyelamatkan gawang.

Lapan minit sebelum rehat, Messi bermain satu dua dengan Paulinho dan Jordi Alba sebelum membuka jaringan untuk Barca.

Kebangkitan Bilbao selepas rehat menyaksikan Barca gagal bermain seperti biasa, namun di akhir masa kecederaan Paulinho menambah jaringan selepas memanfaatkan bola ditepis Kepa Arrizabalaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 12:05 PM