JIA Wei (kiri) memenangi emas menewaskan Aidil Sholeh di final perseorangan individu di Arena Badminton,Ipoh. -Foto L MANIMARAN
JIA Wei (kiri) memenangi emas menewaskan Aidil Sholeh di final perseorangan individu di Arena Badminton,Ipoh. -Foto L MANIMARAN
Azizan Hashim

IPOH: Pemain muda negara, Tan Jia Wei membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat emas dalam acara badminton perseorangan lelaki di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak, petang tadi.

Mewakili Pulau Pinang, Jia Wei mudah menjinakkan Aidil Sholeh Ali Sadikin dari Selangor dengan keputusan 21-16 dan 21-19 di Arena Badminton Perak, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini.

Menurut Jia Wei, ketika perlawanan dia tidak memikirkan apa-apa kecuali ingin memberikan persembahan terbaik pada perlawanan akhir itu sekali gus membawa pulang pingat emas untuk Pulau Pinang.

“Saya puas dan gembira mengecap kejayaan ini pada penampilan terakhir dalam temasya sukan terbesar ini,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, Aidil yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak mengakui tidak bermain baik pada perlawanan itu menyebabkannya dia tewas kerana kerap melakukan kesilapan.

“Saya melakukan banyak kesilapan dan bertindak gopoh kerana ingin menang sangat, saya hanya fikir untuk mematikan bola lawan hingga menyebabkan banyak kesilapan dilakukan pada set pertama.

“Tewas pada set pertama membuatkan keyakinan saya semakin menjunam dan gagal bangkit pada set kedua,” kata pemain berusia 18 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 8:42 PM