AKSI Roy King dan Su Yin ketika menentang beregu Indonesia. FOTO  Fathil Asri
AKSI Roy King dan Su Yin ketika menentang beregu Indonesia. FOTO Fathil Asri
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Skuad badminton negara gagal membawa pulang sebarang pingat emas dari Sukan Sea Kemboja 2023. Ia selepas beregu campuran,Yap Roy King-Cheng Su Yin tewas kepada pasangan nombor 10 dunia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam perlawanan akhir di Dewan Badminton Morodok Techo, hari ini.

Roy King-Su Yin memulakan pertarungan merebut emas dengan langkah positif apabila berjaya mengatasi pasangan dari Indonesia itu dalam set pertama dengan kemenangan 22-20.

Mereka bagaimanapun bergelut pada set kedua dengan banyak kesilapan dilakukan yang menyaksikan Kusharjanto-Kusumawati menang mudah 21-8.

Roy King-Su Yin yang baru digandingkan untuk Sukan Sea kali ini tampil dengan aksi lebih baik pada set ketiga sebelum terpaksa akur tewas 16-21.

Kekalahan itu turut menyaksikan skuad negara tidak dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dalam acara itu di Sukan Sea Vietnam tahun lalu.

Meskipun tewas, Roy King bagaimanapun tetap berbangga apabila gandingannya bersama Su Yin berjaya melangkah hingga ke final dan meraih perak.

"Saya perlu akui lawan dalam kelas lebih baik daripada kami, tetapi kami berjaya memberikan tentangan kepada mereka, jadi saya berpuas hati dengan prestasi kami.

"Memang ada rasa kecewa, sebab kami berpeluang untuk menang pingat emas. Strategi kami untuk perlawanan ini sebenarnya berjaya dikeluarkan tetapi lawan lebih bijak mengatasi kami," kata Roy King.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 3:32 PM