JUSTIN merangkul gelaran ketiga musim ini. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
JUSTIN merangkul gelaran ketiga musim ini. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bintang badminton dalam pembikinan negara, Justin Hoh mencipta kejutan apabila dinobatkan juara perseorangan lelaki kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 selepas menewaskan seniornya, Aidil Sholeh Ali Sadikin pada perlawanan akhir.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Ipoh, Justin bangkit dari tewas pada set pertama, 18-21 sebelum memenangi dua set berikutnya, 21-16, 21-17 dalam tempoh satu jam 14 minit.

Untuk rekod, ini gelaran ketiga buat Justin pada tahun ini selepas menjadi juara kejohanan Bonn Antarabangsa di Jerman dan Terbuka Croatia sebelum ini.

Turut mencipta kejutan, adalah pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing yang menewaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Turun selaku pilihan keenam kejohanan, Pang Ron-Mei Xing bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum menoktahkan kemenangan 18-21, 21-15, 21-19 dalam tempoh 51 minit.

Dalam acara beregu lelaki, pilihan kelima kejohanan, Muhammad Haikal Nazri yang bergandingan bersama Nur Izzudin Mohd Rumsani menepati ramalan apabila tidak berdepan masalah menewaskan lawannya, Goh Boon Zhe-Goh Sze Fei menerusi kemenangan straight set 21-17, 21-16.

Sementara itu hasrat perseorangan profesional wanita negara, K Letshanaa untuk melakar kejutan tidak kesampaian selepas akur tumpas straight set kepada wakil Indonesia, Yulia Yosephine Susanto 16-21, 19-21.

Bagi kategori beregu wanita, pilihan pertama kejohanan dari Singapura, Jin Yujia-Crystal Wong dinobatkan sebagai juara selepas menumbangkan wakil Thailand Ornnicha Jongsathapornparn-Atitaya Povanon 21-12, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 8:23 PM