WAN Rosdy (kanan) memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib.
WAN Rosdy (kanan) memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib.
Oleh Faris Fuad


Kuala Lumpur: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Afidavit itu diikrarkan Wan Rosdy menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada 21 Mei lalu.

Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu, menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 12:08 PM