NURAFIDAH (dua dari kanan) bersama pelajar SMK Putrajaya Presint 9(2) menunjukkan keratan akhbar yang dihasilkan sejak tahun 2017 semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
NURAFIDAH (dua dari kanan) bersama pelajar SMK Putrajaya Presint 9(2) menunjukkan keratan akhbar yang dihasilkan sejak tahun 2017 semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Bagi menggalakkan pelajar membaca, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9(2) tampil dengan kelainannya tersendiri dengan membuat keratan akhbar mengikut topik dan isu yang ada di negara ini.

Guru Perpustakaan dan Media SMK Putrajaya Presint 9(2), Nurafidah Mohd Khalid berkata, penghasilan keratan akhbar itu bermula sejak 2017 sehingga kini.

"Kita anggarkan sudah ada lebih 1,000 keratan yang dibuat membabitkan setiap surat khabar di Malaysia.

"Apabila kita buat keratan akhbar ini, pelajar dilihat lebih tertarik berbanding apabila mereka pegang surat khabar.

"Keratan akhbar yang dihasilkan ini juga mengikut tema dan isu. Sebagai contoh seperti pemain bola sepak negara yang diancam keselamatannya dan Covid-19," katanya ketika ditemui semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengulas lanjut, Nurafidah berkata, penghasilan keratan akhbar ini dicadangkan oleh Penolong Pengarah Urusetia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Wan Salahudin Wan Abdullah dan kemudian dikembangkan pihaknya.

"Idea asal daripada Wan Salahudin. Mula-mula saya tak nampak cadangannya itu macam mana, sehinggalah saya buat mengikut panduan yang diberikan, barulah nampak. Sebenarnya banyak kesan baik daripada penghasilan keratan akhbar ini.

"Daripada surat khabar itu terbuang begitu saja, kita memaksimumkan penggunaannya dan terhasilnya pengumpulan keratan akhbar ini," katanya.

Selain itu katanya, penghasilan keratan akhbar ini adalah sebagai salah satu bahan membaca pelajar untuk Program Nilam di sekolah.

"Sekarang ini, bahan untuk Program Nilam bukan saja membabitkan buku semata-mata, tetapi ia sudah meluas.

"Ia juga boleh diperolehi melalui bahan bukan buku dan digital. Dengan penghasilan keratan akhbar ini, amat memudahkan kepada pelajar untuk membaca kerana ia mengandungi pelbagai topik, isu dan tajuk berbanding jika buku hanya ada satu tajuk saja," katanya.

Menurutnya, penghasilan keratan akhbar ini juga salah satu produk yang dihasilkan oleh sekolahnya.

"Bila orang datang melawat, mereka boleh melihat produk kami ini yang mereka tidak terfikir nak buat macam ini," katanya.

Katanya, bagi penghasilannya, ia membabitkan kira-kira 10 pengawas pusat sumber sekolah yang dilakukan setiap hari Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 12:12 PM