SKUAD negara bergambar selepas tamat perlawanan menentang Thailand. -Foto Persatuan Sepaktakraw Malaysia
SKUAD negara bergambar selepas tamat perlawanan menentang Thailand. -Foto Persatuan Sepaktakraw Malaysia
Azlan Muhammad Zain


“TEWAS bermaruah.” Itu reaksi pengurus skuad lelaki negara, Yusoff Ali selepas tewas kepada seteru utama, Thailand pada final Piala Dunia ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) di India, semalam.

Skuad negara menampilkan semangat juang yang tinggi terutamanya pada set kedua sehingga mengheret perlawanan ke mata tambahan dengan Thailand akhirnya menang dengan keputusan 23-21.

“Pemain sudah memberikan persembahan yang terbaik untuk menang. Cuma sedikit kesilapan merencatkan usaha untuk meraih kemenangan. Tahniah kepada pemain yang memaksa lawan bermandi peluh sebelum tewas.

“Malah, pada satu ketika, mereka terpaksa menurunkan tekong berpengalaman, Siriwat Sakha. Bagi saya, ini adalah tewas yang bermaruah,” katanya.

Skuad negara turut memberikan saingan sengit pada set pertama apabila hanya tewas 19-21.

Bagaimanapun, Yusoff mengakui masih ada kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan skuad kendalian Abdul Talib Ahmad selain insiden Stadium Tertutup Gachibowli yang terputus bekalan elektrik kira-kira 15 minit, mengganggu rentak Malaysia.

“Pada pandangan saya, kesilapan mengawal sentuhan pertama apabila menerima servis lawan terutamanya pada kedudukan penting perlu diperbaiki,” katanya.

Pencapaian di Hyderabad mengulangi edisi 2011 apabila skuad negara turut kecundang kepada Thailand di final ketika kejohanan berlangsung di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 4:48 PM