AKSI Kisona ketika menentang  Ying Ying dalam acara badminton akhir perseorangan individu wanita di Arena Badminton,Ipoh. -Foto L MANIMARAN
AKSI Kisona ketika menentang Ying Ying dalam acara badminton akhir perseorangan individu wanita di Arena Badminton,Ipoh. -Foto L MANIMARAN
Azizan Hashim


IPOH: S Kisona mengatasi kesakitan kaki untuk meraih pingat emas perseorangan wanita Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 Perak, petang tadi.

Pemain Negeri Sembilan itu pada mulanya tampak seperti mahu berhenti di penghujung set penentuan kerana beberapa kali terbaring selepas gagal membalas pukulan akibat mengalami kejang kaki dan paha.

Bagaimanapun Kisona berkata, dia menguatkan diri dan cekal hati apabila mendengar sokongan ibunya dari tempat duduk penyokong.

“Jeritan ibu memberi semangat kepada saya untuk terus berjuang. Saya gembira dapat menghabiskan perlawanan,” katanya.

Pada perlawanan akhir di Arena Badminton Perak, Kompleks Sukan MBI itu, Kisona yang juga pilihan ketiga melakukan kejutan apabila mengalahkan pilihan utama kejohanan dari Perak, Lee Ying Ying 25-27, 21-18, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 85 minit.

Ying Ying ketika ditemui tidak menyembunyikan kekecewaannya gagal menghadiahkan pingat emas kepada negeri kelahirannya.

“Saya mohon maaf gagal mengutip pingat emas untuk dihadiahkan kepada penyokong dan kontinjen.

Mereka tidak berhenti-henti memberi sokongan sepanjang perlawanan,” katanya.

Apa yang pasti, Ying Ying tewas kepada lawan yang mempamer ketenangan dan kawalan gelanggang yang baik berbanding dirinya yang terikut-ikut rentak Kisona.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 8:57 PM