Ebby ketika melawat Pak Ya di hospital baru-baru ini
Ebby ketika melawat Pak Ya di hospital baru-baru ini
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelawak Ebby Yus, 60, memaklumkan sahabatnya juga pelawak Ilya Buang Shaharum atau lebih mesra disapa Pak Ya, 57, ditahan di wad kerana terdapat batu pada bahagian hempedu dan berdepan masalah jantung.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata Pak Ya mengalami kesakitan setiap kali makan dan disebabkan itu doktor menjalankan prosedur 'endoscopy' terhadapnya.

"Pada malam Khamis lalu, Pak Ya ada hantar gambar kepada saya, dia pergi klinik jumpa doktor. Dia ada tunjuk tekanan diri agak tinggi. Keesokan harinya, dia mesej saya, dia kena tahan di wad.

"Doktor mengesyaki terdapat batu dalam hempedunya yang menyebabkan rasa sakit bila makan. Rasa sakit itu sampai ke ulu hati. Cuma saya tak pasti tahap keseriusannya.

"Dia juga memaklumkan doktor mahu membuat prosedur 'endoscopy' untuk lihat bahagian ususnya kalau ada masalah apa-apa. Kemudian pada Sabtu lalu, saya ada peluang pergi jenguk dia," katanya.

Namun begitu, Ebby berkata keadaan Pak Ya baik-baik saja. Dia juga mungkin akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

"Bila saya lawat, dia okay saja, boleh gelak-gelak. Dia beritahu hasil 'endoscopy' itu okay. Cuma jantungnya ada sedikit masalah. Sudah lama saya tahu, biasalah saya pun alami penyakit-penyakit itu.

"Dia kata doktor cakap jantung dia tak berapa cantiklah. Dia sepatutnya kena buat prosedur pembedahan batu dalam hempedu itu. Tapi ia bergantung kepada pemeriksaan doktor terhadap jantungnya.

"Sama ada jantung dia kuat atau tidak, boleh terima pembedahan atau tidak. Andai kata semuanya okay, mungkin dalam minggu ini dia akan menjalani pembedahan," katanya.

Terdahulu, Ebby berkongsi hantaran di Instagram melawat Pak Ya di hospital dan memohon orang ramai mendoakan urusannya dipermudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:54 AM