GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Pejalan kaki maut akibat dilanggar sebelum digilis beberapa kenderaan lain di Kilometer (km) 15, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur menuju ke ibu negara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 6.18 pagi tadi.

"Mangsa dipercayai seorang lelaki namun identiti belum dikenal pasti. Mangsa berjalan dari arah Prima Selayang menghala ke kawasan perindustrian di Selayang Segar.

"Ketika cuba melintas jalan mangsa dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan digilis beberapa kenderaan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Selayang di sini untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di talian 0122924420.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 0362162222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:53 AM