Pertahanan Arsenal, Nacho Monreal. FOTO Agensi
Pertahanan Arsenal, Nacho Monreal. FOTO Agensi
AFP

LONDON: Pertahanan Nacho Monreal yang memiliki baki kontrak selama setahun bersama Arsenal sedang berbincang mengenai lanjutan kontraknya di Emirates.

Pemain berusia 32 tahun itu sudah membuat 165 penampilan di Liga Perdana Inggeris bersama Gunners sejak tiba dari Malaga pada 2013 dan kelab London itu dikatakan bersedia untuk melanjutkan kontraknya.

“Ketika ini, kami sedang berbincang dengan kelab. Saya sentiasa berkata yang saya gembira, saya amat gembira bermain bersama Arsenal,” kata pertahanan Sepanyol itu kepada London Evening Standard.

“Saya tiba enam tahun lalu. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka. Kami sentiasa berhubung jadi jangan bimbang mengenainya. Saya gembira di sini. Itu perkara yang paling utama.”

Monreal yang ketika ini menjadi antara tonggak pertahanan Arsenal di bawah kendalian jurulatih baharu, Unai Emery berharap kerapuhan benteng ketika dibimbing Arsene Wenger dapat diperbaiki.

“Idea saya adalah untuk bermain bola sepak sehingga badan saya berkata, ‘Nacho, maaf tetapi inilah penamatnya’. Tetapi saya fikir ia masih jauh,” kata Monreal.

“Saya benar-benar berharap. Kamu tidak tahu kerana badan kamu, kadang kala kamu bermula dengan beberapa masalah, kecederaan dan kamu tidak dapat terus memberikan 100 peratus.

“Tetapi ketika ini saya merasa amat bagus jadi saya tidak berfikir mengenai persaraan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 11:37 PM