EMERY bertekak dengan pengadil ketika menentang Rennes di laman lawan, awal pagi tadi. — FOTO AFP
EMERY bertekak dengan pengadil ketika menentang Rennes di laman lawan, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

PENGURUS Arsenal, Unai Emery yakin pasukannya boleh bangkit daripada tamparan Liga Europa di Rennes apabila mereka berdepan Manchester United hujung minggu ini.

Gunners beraksi sebahagian daripada aksi awal pagi tadi dengan 10 pemain selepas Sokratis Papastathopoulos dibuang padang pada hujung babak pertama apabila mereka mensia-siakan gol awal sebelum tewas 1-3 di Perancis pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Europa.

Alex Iwobi meletakkan mereka di depan namun Rennes menggunakan kelebihan seorang pemain untuk bangkit dan meraih kelebihan dua gol.

Keputusan itu bermakna mereka perlu bangkit mengatasi defisit itu jika mahu layak ke suku akhir dengan aksi kedua menentang kelab Ligue 1 itu dijadualkan Khamis depan.

“Tempoh 40 minit pertama saya fikir kami menguasainya, kami menjaringkan gol dan kami tidak memberikan banyak peluang kepada mereka,” kata Emery, yang mengakui pasukannya tidak beraksi baik selepas Sokratis dibuang padang.

PENJAGA gol Arsenal, Petr Cech gagal menyelamatkan percubaan Bourigeaud (kanan). — FOTO AFP
PENJAGA gol Arsenal, Petr Cech gagal menyelamatkan percubaan Bourigeaud (kanan). — FOTO AFP

Benjamin Bourigeaud dan Ismaila Sarr menjaringkan gol buat Rennes selain satu gol sendiri sumbangan pertahanan Arsenal, Nacho Monreal.

“Kami perlu meningkatkan persembahan dan saya yakin kami boleh dengan pemain serta sokongan peminat mampu memberikan kami suasana perlawanan besar.”

Sebelum perlawanan itu, Arsenal akan melayan United di Emirates Ahad ini, satu pertembungan penting buat dua pasukan yang berebut kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

“Kami mencari pemain cergas dan tenaga berbeza bagi setiap perlawanan dan bagi Ahad ini saya fikir ia tetap sama,” kata Emery, pasukannya di tangga kelima Liga Perdana, satu mata di belakang United di tangga keempat.

“Setiap pemain bekerja keras dan kami tidak sabar menanti perlawanan seterusnya, tapi saya tahu dan positif bagi aksi Ahad ini, bahawa dengan pemain cergas serta bertenaga, dengan kualiti, kami mempunyai kemungkinan untuk beraksi dengan cemerlang menentang Manchester United dan mengalahkan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:31 AM