Twitter/Agensi

TINDAKAN pemain Arsenal, Nacho Monreal berlari menuju ke tandas ketika perlawanan menentang Napoli mendapat reaksi lucu di media sosial.

Insiden jarang berlaku dalam aksi bolasepak berkesudahan Gunners menyingkirkan kelab Itali itu untuk mara ke separuh akhir Liga Europa, awal pagi tadi.

Lensa kamera sempat merakam pemain Sepanyol itu memegang perut sebelum melompat keluar melepasi penghalang keluar padang ketika separuh masa kedua baru bermula beberapa minit.

Monreal yang lesap seketika untuk melepaskan hajat, kembali ke padang menyertai rakan sepasukan lima minit kemudian.

Seorang penyokong menganggap insiden itu sebagai 'kemuncak Liga Europa' manakala Martyn Morgan menulis: “Saya harap dia sudah mencuci tangan”.

Malah, ada dalam kalangan merasakan tindakannya itu tidak menunjukkan rasa hormat kepada lawan apatah lagi beraksi di Stadium San Paolo, Naples.

Selepas mendahului 2-0 pada suku akhir pertama, sepakan percuma Alexandre Lacazette di babak pertama memastikan kelab London Utara itu mara menerusi kemenangan agregat 3-0.

Arsenal akan berdepan kelab Sepanyol, Valencia pada separuh akhir dan kini berada dalam laluan mencari kejuaraan pertama di bawah kendalian Unai Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:30 PM
Monreal bergegas ke tandas pada separuh masa kedua. FOTO REUTERS/Twitter
Monreal bergegas ke tandas pada separuh masa kedua. FOTO REUTERS/Twitter